Razeki Rozaimi Untuk Bermain di Thailand

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
DI SEBALIK kegagalan Malaysia meraih slot ke pusingan akhir Kejohanan Piala Asia Bawah 22 Tahun (B-22) tahun depan, ada perkhabaran gembira buat pemain muda negara, Rozaimi Abd Rahman yang mendapat tawaran rasmi untuk menyertai kelab Liga Perdana Thailand, BEC Tero Sasana.
Ternyata aksi Rozaimi, 19, penjaring terbanyak dengan ledakan 10 gol pada kempen kelayakan kejohanan itu di Yangon Myanmar baru-baru ini memikat BEC Tero Sasana yang berjaya menjadi naib juara Liga Juara-Juara Asia 2002. Menurut sumber yang menerima surat tawaran rasmi dari BEC Tero Sasana pada 26 Jun lalu itu berkata, Rozaimi ditawarkan untuk menjalani ujian percubaan selama sebulan sebelum mendapat kontrak tetap.

“Kami menerima surat tawaran rasmi BEC Tero Sasana yang begitu berminat dengan Rozaimi apabila mereka melihat aksinya pada pusingan kelayakan Piala Asia di Yangon.

“Mereka sanggup menanggung semua kos dan elaun sepanjang Rozaimi menjalani ujian percubaan dengan kelab itu. Bagi saya ujian percubaan itu hanyalah prosedur biasa yang perlu dilalui Rozaimi kerana secara dasarnya kelab itu memang mahu mengambil dia sebagai pemain tetap.

“Bagi saya ini peluang terbaik buat Rozaimi kerana jarang pemain mendapat tawaran bermain di Thailand. Biarpun hanya di Thailand tapi kita semua tahu liga mereka berada di ranking lebih baik berbanding Malaysia dan kelab BEC Tero Sasana ini adalah kelab profesional yang mempunyai reputasi baik di sana,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Menurutnya, beliau sudah menghantar salinan surat tawaran ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membantu membuat rundingan dengan majikan Rozaimi, Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa).


“Kami sudah menghubungi FAM Jumaat lalu untuk meminta bantuan bagi menjalankan rundingan dengan Safa. Kebetulan ketika itu Rozaimi sedang bersama skuad negara, jadi kami menghubungi FAM tapi sehingga kini kami masih belum mendapat sebarang maklum balas. Bagi pihak BEC Tero Sasana, kalau boleh mereka mahu Rozaimi menjalani ujian itu secepat mungkin,” katanya.

Rozaimi yang dipanggil oleh jurulatih Ong Kim Swee mencipta sensasi di Yangon dengan menjaringkan empat gol ketika Malaysia membenam Filipina 7-0 dan dua gol ketika menewaskan Taiwan 4-2. Pemain tengah menyerang kelahiran Bongawan, Sabah itu kemudian meledak hatrik untuk menumpaskan Vietnam 3-0 namun gagal membantu Malaysia meraih slot ke pusingan akhir biarpun menjaringkan satu gol ketika tumpas 1-2 di tangan Myanmar.

Peningkatan mendadak Rozaimi itu membuatkan dia dikatakan bakal mengikut jejak langkah rakan sepasukan ke Portugal, Muhamad Nazmi Faiz Mansor. BEC Tero Sasana kelab yang dibimbing jurulatih Inggeris, Andrew Ord kini menduduki tangga ketiga liga.

0 comments:

Post a Comment