Arsenal - Walcott teruja sertai jelajah

THEO Walcott mengakui dia terlalu teruja untuk kembali menyertai Jelajah Arsenal ke Timur Jauh 2012, minggu depan.
Penyerang England itu adalah sebahagian daripada skuad Gunners yang menuju ke Asia untuk mengambil bahagian dalam perlawanan itu, sesi latihan dan beberapa acara di Malaysia, China dan Hong Kong.

Semangat yang ditunjukkan penyokong Asia ketika sesi jelajah musim lalu memberi impak kepada pemain berusia 23 tahun itu dan tidak sabar untuk bertemu mereka sekali lagi.
“Saya terlalu teruja, seronok dapat berjumpa dengan penyokong,” kata Walcott.

“Ia memberi makna kepada mereka kerana mereka tidak berpeluang menyaksikan kami secara dekat. Sebagai pemain kami dapat menyaksikan sisi berbeza dalam permainan ini, bertemu peminat yang tidak berpeluang berkunjung ke Stadium Emirates.

“Pertemuan ini menjadikan impian mereka satu kenyataan dan inilah yang kami mahu lakukan. Mereka amat menyukai kelab ini, mereka sukakan pemainnya dan mereka mahu berada hampir dengan kami.

“Mereka adalah peminat sejati dan mahu kelab beraksi cemerlang. Sesuatu yang istimewa bagi kami sebagai pemain kerana dapat melihat sisi berbeza dalam perlawanan.” Arsenal akan menentang Harimau Malaya 24 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tiket dijual pada harga RM58, RM68, RM108 dan tiket terhad VIP dijual pada harga RM388. Tiket boleh didapati di rangkaian Ticketpro seluruh negara, Ticketpro hotline 03-7880-7999 dan www.ticketpro.com.my.

0 comments:

Post a Comment