Jepun - Juara dunia di anak tiri pengurusan



TOKYO: Pasukan juara wanita dunia, Jepun ditempatkan di kelas ekonomi ketika pasukan bola sepak lelaki berada di kelas pertama dalam penerbangan ke Eropah bagi menyertai Olimpik.
Nadeshiko Japan yang menjadi harapan meraih pingat emas terbang dalam kelas premium ekonomi ketika penerbangan Japan Airlines ke Paris manakala skuad kebangsaan bawah 23 tahun yang dilihat tidak berpeluang meraih pingat berada di bahagian depan pesawat.

“Saya fikir ia patutnya berlaku sebaliknya,” kata wira Piala Dunia, Homare Sawa, 33, memberitahu media Jepun selepas tiba di ibu negara Perancis itu kelmarin.
“Malah daripada segi umur, kami lebih senior,” katanya sambil tersenyum.

Pemain Wanita Terbaik Fifa itu menjadi pemain bola sepak Jepun paling tua di London.

Skuad Olimpik lelaki membariskan pemain bawah 23 tahun dengan tiga pemain lebih umur dibenarkan. Tiada kekangan untuk wanita, namun hanya beberapa pasukan membariskan pemain profesional.

Homare yang bakal mengambil bahagian dalam Olimpik keempat dan mungkin yang terakhir berkata, persembahan mantap di London mungkin meningkatkan peluang untuk mendapat kelas yang lebih baik.

“Apabila kami memenangi Piala Dunia, tempat duduk kami diubah kepada kelas utama untuk penerbangan pulang,” katanya. “Saya harap kami akan mempamerkan keputusan yang baik sekali lagi dan dilayan dengan cara yang sama.” - AFP

0 comments:

Post a Comment